Ba'Kelalan Highland

Ba'kelalan ialah sebuah daerah pendalaman tanah tinggi bergunung ganang terletak di bahagian timur laut negeri Sarawak. Ba'kelalan berada 1000 meter tinggi dari aras laut memberikan daerah ini mempunyai suhu rendah di bawah 21 darjah celcius. 4 km dari Ba'kelalan terletaknya sempadan antara Kalimantan Barat, Indonesia dan bersebelahan dengan Taman Negara Kayan Mentarang di wilayah Kalimantan. Penduduk di sini terdiri daripada suku kaum Lun Bawang. Terdapat sembilan buah perkampungan di sini iaitu perkampungan Buduk Nur, Long Langai, Long Lemumut, Long Ritan, Long Rusu, Pa Tawing, Buduk Bui, Buduk Aru dan Long Rangat. Mengikut istilah tempatan, 'Ba' bermaksud sawah padi manakala 'Kelalan' pula bererti sebatang sungai. Terdapat beberapa lokasi menarik berdekatan Ba'kelalan seperti Bario, Taman Negara Pulong Tau, Gunung Murud dan Bukit Batu Lawi.
Iklim pegunungan yang sejuk membolehkan tanaman seperti seperti epal, strawberi, anggur, limau, dan tomato hidup subur di Ba'kalalan. Daerah ini juga terkenal dengan penghasilan padi adan.
Ba'kelalan ialah satu-satunya daerah di Malaysia yang terkenal dan berjaya menghasilkan buah epal. Biji benih epal ini dibawa dari Batu Malang, Jawa Timur, Indonesia oleh seorang suku kaum Lun Bawang bernama Andrew Balang Paran sekitar tahun 1974. Kini daerah ini telah digelar sebagai 'lembah epal' oleh penduduk di sekitarnya. Menurut seorang pengusaha epal di sini, Tagal Paran, beliau berjaya menuai sebanyak 1.5 tan buah epal setiap musim dari 3,000 pokok epal yang beliau tanam. Setiap pokok boleh menghasilkan tuaian sekurang-kurangnya 300 biji epal. Walaupun begitu, pasaran ini hanya terhad di sekitar Miri, Lawas, Kota Kinabalu dan Brunei sahaja.
Terdapat empat kultivar epal yang terkenal diusahakan di sini iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty. Epal Manalagi dikenali sebagai epal Ba'kelalan; mempunyai rasa manis dan rangup apabila ranum; kulit berwarna hijau kekuningan. Epal Anna pula masak dengan berwarna merah di bahagian atas dan kuning di bahagian bawah dengan rasanya masam manis berisi lebih lembut berbanding Manalagi. Epal Rome Beauty berwarna hijau dengan tompokan merah pada bahagian bawah dan lebih rangup dan enak berbanding epal Anna. Epal Tropikal masak hijau dan mempunyai rasa lebih masam berbanding semua kultivar dan lebih sesuai untuk masakan.



Comments

Popular Posts